Jumaat, 12 Jun 2026

PROGRAM “DIDIK DIRI JAUHI BULI” SMK BUKIT JALOR 2026


11 JUN 2026 | DEWAN SERI JALOR
PROGRAM “DIDIK DIRI JAUHI BULI” TINGKATKAN KESEDARAN MURID TENTANG BAHAYA BULI
SMK BUKIT JALOR

Pada 11 Jun 2026 (Khamis), Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Murid (HEM) dan Pusat Sumber Al-Farabi SMK Bukit Jalor telah menganjurkan Program “Didik Diri Jauhi Buli” 2026 bertempat di Dewan Seri Jalor. Program yang bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 10.00 pagi ini melibatkan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4.
Program ini diadakan sebagai usaha meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang kepentingan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada budaya buli. Isu buli sama ada secara fizikal, lisan, sosial mahupun siber boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi, mental dan pencapaian akademik murid. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan budaya hormat-menghormati dan kasih sayang terus dipupuk dalam kalangan murid.
Program dimulakan dengan aktiviti “Energizer” yang dikendalikan oleh ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) bagi mewujudkan suasana ceria dan meningkatkan penglibatan murid sebelum sesi ceramah berlangsung.
Seterusnya, murid telah mengikuti Ceramah Kesedaran Jenayah (Buli) yang disampaikan oleh Insp. Mohammad Izzwan bin Abdul Hadi. Dalam ceramah tersebut, beliau menjelaskan pelbagai bentuk perlakuan buli, kesan buruk yang dialami mangsa dan pembuli, serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku insiden buli. Murid turut diberi pendedahan mengenai kepentingan melaporkan kes buli melalui saluran yang betul bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Melalui program ini, murid dapat memahami bahawa setiap individu mempunyai hak untuk berada dalam persekitaran yang selamat dan dihormati. Selain itu, program ini turut membantu memupuk nilai empati, bertanggungjawab serta keberanian untuk bertindak dalam menangani gejala buli.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Insp. Mohammad Izzwan bin Abdul Hadi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Bimbingan dan Kaunseling, Unit HEM, Pusat Sumber Al-Farabi serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan murid yang berdisiplin, berakhlak mulia serta sentiasa mengamalkan budaya saling menghormati demi mewujudkan persekitaran sekolah yang aman dan sejahtera.













Tiada ulasan:

Catat Ulasan