MEMBINA HALA TUJU MASA DEPAN PELAJAR
GEMENCHEH, 18 JUN 2026 – SMK Bukit Jalor telah menganjurkan Program Hari Kerjaya 2026 dengan jayanya melibatkan penyertaan pelajar, ibu bapa, penjaga, guru serta institusi luar yang berkaitan. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang pendidikan dan kerjaya yang boleh diterokai selepas tamat persekolahan.
Pada tahun ini, pihak sekolah telah menjemput GiatMara Tampin dan Shipping & Aviation College (SAC) sebagai rakan strategik bagi berkongsi maklumat berkaitan kursus kemahiran, laluan pendidikan serta prospek kerjaya yang ditawarkan oleh institusi masing-masing. Kehadiran wakil institusi tersebut telah memberikan peluang kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat secara terus serta mengemukakan pelbagai pertanyaan berkaitan hala tuju masa depan.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran ibu bapa dan penjaga sebelum pelajar berkumpul di Dewan Seri Jalor. Seterusnya, sesi taklimat khas telah disampaikan oleh wakil GiatMara Tampin dan SAC yang menerangkan peluang pendidikan serta kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa.
Selain itu, program turut memberi ruang kepada ibu bapa dan penjaga untuk mengadakan sesi perjumpaan bersama guru kelas bagi membincangkan prestasi akademik, sahsiah serta perkembangan semasa anak-anak. Sesi ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa demi memastikan kecemerlangan pelajar dapat dicapai secara menyeluruh.
Pelajar dan ibu bapa juga berpeluang mengunjungi tapak pameran yang disediakan oleh institusi jemputan bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai syarat kemasukan, kursus yang ditawarkan serta prospek pekerjaan selepas tamat pengajian.
Penganjuran Program Hari Kerjaya ini diharapkan dapat membantu pelajar membuat perancangan yang lebih jelas terhadap masa depan mereka, sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran. Program seperti ini juga membuktikan komitmen SMK Bukit Jalor dalam melahirkan pelajar yang berilmu, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan pada masa hadapan.
SEKALUNG PENGHARGAAN dirakamkan kepada GiatMara Tampin, Shipping & Aviation College (SAC), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), seluruh jawatankuasa pelaksana serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan Program Hari Kerjaya SMK Bukit Jalor Tahun 2026.
Disediakan oleh:
UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING
SMK BUKIT JALOR




























Tiada ulasan:
Catat Ulasan