Jumaat, 12 Jun 2026

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTeM) DAN MUZIUM PENJARA MALAYSIA



9 Jun 2026 | Selasa
SMK Bukit Jalor melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Kelab Kerjaya/Pencegahan Jenayah, Unit Hal Ehwal Murid, Unit Kokurikulum dan Pusat Sumber Al-Farabi telah menganjurkan Lawatan Sambil Belajar ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Muzium Penjara Malaysia pada 9 Jun 2026.
Program yang melibatkan 41 orang murid PPKI dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 serta 5 orang guru pengiring ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada murid tentang peluang pendidikan dan kerjaya selepas tamat persekolahan, di samping membentuk kesedaran tentang kepentingan mematuhi undang-undang dan menjauhi gejala jenayah.
Lawatan dimulakan dengan perjalanan ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang terletak di Durian Tunggal, Melaka. Setibanya di sana, para murid berpeluang mengikuti sesi lawatan ke beberapa fakulti di bawah bimbingan pihak universiti. Murid turut didedahkan dengan suasana pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan serta prospek kerjaya yang berkaitan dengan bidang teknikal dan teknologi. Aktiviti kuiz turut dijalankan bagi meningkatkan pengetahuan dan minat murid terhadap dunia pendidikan tinggi.













Selepas sesi lawatan di UTeM, para peserta meneruskan perjalanan ke Muzium Penjara Malaysia yang terletak di Bandar Hilir, Melaka. Di muzium tersebut, murid mengikuti taklimat serta lawatan berpandu yang memberikan gambaran tentang sejarah sistem penjara di Malaysia dan kehidupan banduan di dalam institusi pemulihan. Pendedahan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada murid tentang kesan negatif penglibatan dalam kegiatan jenayah serta pentingnya menjaga sahsiah diri demi masa depan yang lebih cemerlang.
Program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan iaitu memberi pendedahan kepada murid mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas SPM, di samping memupuk nilai disiplin, tanggungjawab dan kepatuhan terhadap undang-undang. Pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan ini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah.












Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Muzium Penjara Malaysia atas kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan generasi yang berilmu, berwawasan dan berakhlak mulia.

#SMKBukitJalor
#UnitBimbinganDanKaunseling
#LawatanSambilBelajar
#UTeM
#MuziumPenjaraMalaysia
#PendidikanKerjaya
#SekolahPenyayang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan