Rabu, 18 Mac 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & PENUTUP IHYA’ RAMADAN SMK BUKIT JALOR 2026


Pada 17 Mac 2026, SMK Bukit Jalor telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup Program Ihya’ Ramadan yang berlangsung di Dewan Seri Jalor dengan penuh keberkatan dan penghayatan. Program ini merupakan kemuncak kepada pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan bagi menyemai nilai-nilai keimanan dalam kalangan warga sekolah.

Majlis dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan kehadiran para guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta murid-murid. Program dimulakan dengan bacaan doa sebagai tanda memohon keberkatan dan kelancaran sepanjang majlis berlangsung.





Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Pengetua, Tn. Mohd Redzuan bin Shamsudin, yang menekankan kepentingan menghayati bulan Ramadan melalui amalan berterusan seperti membaca al-Quran dan memperbaiki akhlak. Majlis turut diserikan dengan ucapan perasmian penutup Program Ihya’ Ramadan oleh YDP PIBG SMK Bukit Jalor, Pn. Norlizah binti Othman.





Antara pengisian menarik sepanjang majlis ialah tayangan montaj aktiviti Ramadan yang telah dilaksanakan, yang berjaya mengimbau kembali kenangan serta usaha warga sekolah dalam mengimarahkan bulan yang mulia ini. Kemuncak majlis ialah Majlis Khatam Al-Quran, yang disertai oleh para murid sebagai tanda kejayaan menamatkan bacaan al-Quran sepanjang Ramadan.

















Majlis turut diserikan dengan pertandingan azan, persembahan pelajar serta penyampaian hadiah kepada para pemenang. Selain itu, penyampaian sumbangan kepada anak yatim dan asnaf turut diadakan sebagai tanda keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Majlis diakhiri dengan sesi salam hormat dan bersurai sekitar jam 12.30 tengah hari dalam suasana yang penuh bermakna. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam kalangan warga sekolah, malah berjaya memupuk semangat ukhuwah, keinsafan dan kecintaan terhadap ajaran Islam.

Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah, serta sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan